SEJARAH
Sekolah Kebangsaan Cheras Indah mula beroperasi pada 4 Januari 1999 dengan jumlah pengambilan murid yang pertama pada ketika itu ialah seramai 247 orang termasuk 4 orang murid pendidikan khas. Jumlah guru pada tahun permulaan hanyalah seramai 12 orang dengan dibantu dua orang staf sokongan. Setelah hampir 11 tahun beroperasi, kini SKCI telah mempunyai jumlah murid seramai hampir 410 orang dengan jumlah guru seramai 49 orang. Staf sokongan juga telah ditambah menjadi seramai 12 orang. Jika dilihat kepada nisbah murid di sekolah ini, hampir 82% murid adalah berbangsa Melayu, 6.8% murid berbangsa Cina dan 10.5% murid berbangsa India. Jumlah guru yang seimbang dengan jumlah murid membantu meningkatkan prestasi sekolah yang semakin baik saban tahun.
Dengan bermotifkan pendidikan berkualiti untuk murid-murid sekitar Taman Cheras Indah dan Taman Pandan Perdana, pelbagai kejayaan telah dikecapi oleh para murid dan guru. Namun, hal ini tidak mungkin berlaku jika warga sekolah tidak mendapat sokongan yang padu daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Cheras Indah (PIBG) sendiri. Harapan warga SKCI adalah untuk mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang tahun 2016.